Petugas Barisan Hadapan Berdepan Tempoh Kritikal Tangani COVID-19 Di Sabah





Perjuangan petugas barisan hadapan menangani pandemik COVID-19 di Sabah kini mencapai tahap kritikal, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah 
 
Beliau berkata, beberapa strategi dan kaedah akan diambil untuk menghapuskan rantaian penularan virus COVID-19 di negeri Sabah.

Strategi Kementerian Kesihatan Malaysia berdasarkan kepada pemantauan komuniti, pengesanan kontak dengan mencari, menguji, mengasing dan merawat semua individu yang positif serta memutuskan rantaian jangkitan. Kawalan di sempadan negeri dan daerah juga diperketatkan, kata beliau melalui hantaran di Twitter.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 561 kes baharu di negara ini dengan lapan kes import. Manakala, Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 488 kes.

Dengan pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini mencecah 15,657 dengan 4,587 kes aktif.

Sementara itu dua lagi kematian turut dilaporkan semalam menjadikan kumulatif kes kematian adalah 157 kes.

Kementerian Kesihatan juga mengesan lima lagi kluster baharu iaitu tiga di Sabah dan masing-masing satu di Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan.







Post a Comment

0 Comments