Mesyuarat Khas Perdana Menteri, Bincang Isu Darurat

 


PUTRAJAYA: Telah berlangsung Mesyuarat Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Jemaah Kabinet di Bangunan Perdana Putra yang bermula dari jam 11.30 pagi dan berakhir pada jam 2 petang tadi.

Menteri-Menteri Kabinet hadir difahamkan bagi membincangkan berkenaan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas baginda Sultan tidak bersetuju dengan pengisytiharan darurat semalam.

Antara barisan Kabinet yang telah hadir di Pejabat Perdana Menteri termasuk Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Selain itu, turut kelihatan ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Tujuan Mesyuarat Khas itu diadakan adalah untuk membincangkan lebih lanjut titah Seri Paduka bahawa tidak ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara buat masa ini.

Tan Sri Muhyiddin turut mengadakan perjumpaan bersama pemimpin parti politik daripada Perikatan Nasional (PN) yang diadakan kira-kira dua jam bermula pukul 9.30 pagi tadi.

Menurut laporan Astro AWANI, ketua parti politik yang hadir terdiri daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MIC, Tan Sri S. A Vigneswaran, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof

Sumber : Astro Awani

 

Post a Comment

0 Comments