Ketua Menteri Sabah Yang Baharu, Kata Sepakat Telah Dipersetujui





KOTA KINABALU: Akhirnya kata sepakat telah di persetujui untuk memilih Ketua Menteri Sabah yang baharu. 

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepakat menamakan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Hajiji yang juga Ahli Dewan undangan negeri (ADUN) Sulaman itu mengatakan akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada 29 September 2020, pukul 10.30 pagi.

Tegas Hajiji, kerajaan negeri baharu itu akan menyelesaikan permasalahan rakyat dan manifesto serta Aku Janji pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan ditunaikan sebaiknya.

“Kami akan tunaikan tanggungjawab dan mandat rakyat sebaiknya. Saya berterima kasih kepada rakyat Sabah kerana memilih pemimpin daripada GRS,” 

Beliau berkata demikian pada sidang media di The Magellan Hotel pada Isnin.

Ditanya berkenaan barisan jemaah menteri, Hajiji menjawab ringkas ‘rahsia’ dan akan mengumumkannya selepas mengangkat sumpah.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan; dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim serta barisan wakil rakyat GRS.

Dalam pada itu, Bung Moktar turut menjelaskan, kerajaan negeri yang baharu ini akan berhenti berpolitik dan menunaikan tanggungjawab menyelesaikan masalah yang dihadapi Sabah.

Kerajaan negeri di bawah GRS juga mampu untuk memulihkan semangat rakyat yang selama ini hilang disebabkan oleh pemerintahan kerajaan terdahulu yang tidak prihatin kepada rakyat.

Beliau menambah, adalah menjadi tanggungjawab besar kerajaan negeri yang baharu ini untuk kita sama-sama memulakan langkah memastikan rakyat di bawah mendapat pembelaan.

Diharap atas pelantikan Ketua menteri Sabah yang baharu ini, dapat menjanjikan pembangunan dan pertumbuhan yang menggalakkan dan mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan seluruh Sabah disamping menjadi penyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Post a Comment

0 Comments