Tarik Balik Sokongan Kepada Perikatan Nasional - Nazir Hussin





SHAH ALAM: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berhasrat menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya Ketua Menteri Sabah baharu dilantik bukan daripada Barisan Nasional.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, persefahaman telah dipersetujui bahawa BN akan menamakan Ketua Menteri jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut beliau, BN dijanjikan kerusi Ketua Menteri sebagai balasan melepaskan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) lalu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti menyertai Bersatu.

"Walaupun sedih dengan kehilangan kerusi-kerusi tradisi ini, kami berlapang dada dan menerima kehadiran mereka dan berusaha memastikan mereka menang.

Janji itu mungkin tidak dapat dilaksanakan kerana PN menang 17 kerusi dan BN 14.

"Ini telah dijadikan alasan untuk melantik Ketua Menteri daripada Bersatu. Apakah Bersatu lupa bahawa di Perak, PN hanya mempunyai lapan kerusi berbanding BN 25, namun yang menjadi Menteri Besar adalah daripada Bersatu?," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nazir Hussin berkata, beberapa calon Bebas yang menewaskan calon BN juga telah dibawa masuk menyertai PN bagi mengukuhkan Bersatu.

Justeru itu, katanya, ia bukan soal UMNO tamak kuasa atau tidak mahu berkongsi kuasa, namun jika perkongsian ini tidak menghasilkan keadilan, maka apa guna perkongsian?

Beliau menambah, jika Ketua Menteri Sabah dari Bersatu, maka sewajarnya ahli-ahli Parlimen BN memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

"UMNO tidak sombong namun jangan pula sampai dibuli membuta tuli," katanya.

Walaubagaimanapun, keputusan masih belum dibuat dan sebarang dakwaan masih belum dapat dipastikan kebenarannya.


Post a Comment

0 Comments