PRK Batu Sapi Dibatalkan




KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mendukung penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan pengisytiharan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi justeru pilihan raya kecil kerusi itu terbatal.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan ia adalah keputusan yang sewajarnya pada masa pandemik COVID-19 yang terus mengancam kesihatan dan kesejahteraan rakyat di Sabah.

Beliau berkata, matlamat utama adalah usaha untuk menghentikan penularan virus COVID-19 dan memelihara kesejahteraan rakyat Sabah.

"Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah bagi COVID-19 telah berusaha bertungkus lumus selama ini bersama-sama pihak berkaitan yang lain bagi mengekang penularan wabak ini.

"Perkenan oleh Al-Sultan Abdullah adalah satu keputusan yang amat bijak kerana wabak tersebut masih mengancam kesihatan dan nyawa rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Al-Sultan Abdullah telah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah dan 
pihak berkuasa bertungkus-lumus dan akan terus memerangi pandemik tersebut di negeri Sabah, tegas beliau.

Sumber : Astro Awani

Post a Comment

0 Comments