SK Umas-Umas Jadi Pusat Kuarantin Jika Kes Meningkat




TAWAU: Sebuah pusat kuarantin bakal diwujudkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Umas-Umas bagi kes COVID-19 di FELDA Umas, jika kes baharu di kawasan terbabit terus naik. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini sedang menjalankan persediaan bagi menghadapi apa jua kemungkinan di kawasan itu. 

Aktiviti kawalan keselamatan sedang dijalankan oleh pihak polis bersama agensi keselamatan lain di semua jalan masuk dan keluar dari FELDA UMAS berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang dikuatuasakan sejak semalam (Selasa) sehingga 26 Oktober ini. 

Terdapat empat laluan keluar masuk ke daerah ini termasuk tiga lorong tikus yang dikenal pasti telah ditutup menggunakan dawai berkawat selaras pelaksanaan PKPD. 

Beliau menambah, pihaknya juga akan menghantar pasukan pemantau untuk memastikan penduduk FELDA Umas patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu larangan pergerakan keluar atau masuk kecuali dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

"Saya minta kerjasama semua penduduk termasuk peneroka dan kakitangan FELDA supaya sama-sama membantu usaha kerajaan dalam mengekang penularan serta memutuskan rantaian COVID-19 ini," katanya. 

Sehubungan itu, Peter turut menasihatkan semua penduduk, peneroka dan kakitangan FELDA agar memberikan kerjasama bagi membendung penularan wabak ini selain bersabar dan bertenang kerana segala persediaan dari segi kebajikan penduduk kini sedang diatur gerak oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Kalabakan. 

"Penduduk tidak perlu bimbang kerana bantuan akan disalurkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kalabakan yang diketuai oleh pegawai daerah," katanya. 

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membuat pengumuman arahan PKPD di FELDA Umas ekoran peningkatan kes di kawasan berkenaan yang melibatkan 800 buah rumah dengan 17,549 jumlah penduduk. 





Post a Comment

0 Comments