Peningkatan Kes Covid-19 Dijangka Dalam Seminggu Dua Ini. KKM Telah Bersiapsiaga



PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersedia untuk menghadapi kenaikan mendadak kes positif wabak koronavirus (Covid-19) yang dijangka akan meningkat dalam masa seminggu atau dua minggu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak KKM yakin dapat menanganinya bersandarkan kepada pengalaman dan peralatan yang ada.

"Apa yang penting kemampuan KKM, kalau lihat kesiapsiagaan KKM, kita lebih bersedia dibandingkan semasa awal penularan iaitu pada bulan Mac dan April".

KKM bersiap sedia dari segi pengalaman merawat pesakit Covid-19 serta dari segi penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE), kapasiti katil dan sebagainya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga turut menghantar bantuan pasukan yang terdiri daripada pakar perubatan dan pegawai perubatan di lapangan untuk tindakan kesihatan awam.

Aktiviti pengesanan sedang dijalankan dan dijangka peningkatan kes tertumpu di Sabah dan Kedah pada ketika ini.

"Inilah tindakan kita dari mula lagi dan kita dapat lihat pengawalan kes jangkitan yang baik," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata jangkitan kes positif COVID-19 membabitkan Kluster Benteng di Sabah dan Kluster Tembok di Kedah adalah terkawal kerana kebanyakan mereka dikurung di kawasan penjara dan pusat tahanan.

KKM yakin melalui kaedah kesihatan awam, ia dapat memutuskan rantaian jangkitan seperti kejayaan menamatkan 101 kluster sebelum ini. Menurut beliau, itu adalah cara yang terbaik dalam mengawal penularan jangkitan memandangkan vaksin masih belum berjaya ditemui.

"Musuh kita adalah sama, jangan salahkan satu sama lain. Kerjasama padu semua pihak adalah diperlukan. Kalau kita amalkan kaedah kesihatan awam, InsyaAllah kita boleh putuskan rantaian jangkitan," katanya dan menambah bahawa kaedah itu lebih berkesan mencegah penularan jangkitan sehingga 82 peratus.

Dr Noor Hisham menambah, KKM sedang mencari prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19 di pusat tahanan.

Bantuan pasukan kesihatan dan peralatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE), alat bantuan pernafasan serta membuka pusat kuarantin telah digerakkan bermula dua minggu lepas dan keperluan untuk menambah bantuan akan dipantau dari semasa ke semasa. Ia sebagai langkah pencegahan dan penularan jangkitan dapat dikawal dengan cepat.

Daripada 317 kes baharu hari ini, 37 kes adalah individu yang pulang dari Sabah, iaitu jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September sebanyak 176 kes.

Berhubung kebimbangan ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak di sekolah, KKM belum mengesyorkan penutupan sekolah buat masa ini. Namun pihak sekolah perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan dalam menjalankan aktiviti di sekolah.

Post a Comment

0 Comments