Pekerja Dari Zon Merah Digalakkan Jalani Ujian Covid-19



PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Arahan dikeluarkan untuk pekerja dari zon merah yang perlu ke pejabat sepanjang tempoh PKPB amat digalakkan menjalani ujian Covid-19. 

Arahan sebelum ini yang mewajibkan untuk melakukan ujian Covid-19 telah diberi kelonggaran.

Memetik laporan daripada Astro Awani, pengumuman dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu pekerja dari zon merah yang perlu hadir ke pejabat amat disarankan melakukan ujian calitan Covid-19 untuk menjaga kepentingan dan kesihatan masyarakat.

Dalam pengumuman itu, beliau berkata arahan wajib ujian Covid-19 hanya untuk pekerja asing di sektor binaan dan juga pengawal keselamatan. Selain itu, bagi mereka yang bergejala juga diwajibkan.

Kerajaan bersetuju untuk tidak mewajibkan ujian calitan Covid-19 bagi pekerja di zon merah atau yang tinggal di zon merah tetapi bekerja di zon kuning.

Walau bagaimanapun, kerajaan menasihatkan pekerja menjalani ujian saringan bagi memastikan tahap kesihatan mereka supaya tidak memudaratkan keluarga dan orang lain.

Arahan penuh berkenaan bekerja dari rumah untuk pekerja sektor awam dan industri yang terlibat akan dikeluarkan secara terperinci oleh ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), tegas beliau.

Ismail sabri menjelaskan bahawa arahan yang dibuat adalah secara am, oleh itu pekerja dan industri perlu merujuk kementerian dan agensi yang berkenaan.

Beliau menambah, banyak sektor-sektor lain yang dikategorikan sebagai sektor tidak rasmi atau perkhidmatan. Ini termasuk sektor peruncitan, makanan, perladangan, pertanian, penjaja, restoran, gerai makanan, medan selera, kedai runcit, kedai serbaneka dan lain-lain dibenarkan bekerja seperti biasa dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Justeru itu, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk memerangi Covid-19 supaya rantaian boleh diputuskan.

Post a Comment

0 Comments