PRN Sabah - GRS Ingin Memperkasa Pendidikan Digital, Antara 9 Aku Janji



KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) berkerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menawarkan sembilan teras Aku Janji sebagai manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Gabungan itu yang kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memfokuskan 9 Aku Janji iaitu dalam aspek infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan awam, pendidikan dan modal insan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, keselamatan, belia dan pembangunan wanita.

1. Infrastruktur

Pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dan Sabah adalah antara fokus utama Aku Janji untuk meningkatkan kesalinghubungan dan menjana pertumbuhan sosioekonomi yang memberangsangkan bagi penduduk Sabah dan Labuan. Selain itu, memberi perhatian kepada usaha mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, menaik taraf kereta api dan jaringan internet untuk kemudahan rakyat di seluruh Sabah.

2. Ekonomi

Mempergiatkan usaha membangunkan Pelabuhan Sepanggar sebagai hab perkapalan bagi meniingkatkan industri logistik Sabah selain menimbangkan usaha untuk mewujudkan kawasan perdagangan bebas di kawasan strategik dan meningkatkan pembangunan pertanian.

3. Peluang Pekerjaaan

Berusaha menyediakan peluang pekerjaan tertumpu kepada kerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi berasaskan sektor utama bagi mewujudkan peluang kerja berpendapatan tinggi.

GRS juga membuat ketetapan supaya projek mega dilaksanakan di Sabah mesti menggunakan tenaga kerja anak tempatan, selain menggalakkan anak Sabah mengambil peluang bersaing dalam era digitalisasi melalui pendedahan kursus bersasar.

4. Perkhidmatan Awam

Sektor perkhidmatan awam negeri akan terus dinaiktaraf ke arah perkhidmatan digital untuk memperluaskan capaian kepada rakyat dan menjamin kebajikan penjawat awam.

5. Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat

GRS memberi penekanan untuk menambah fasiliti kesihatan baharu dan kemudahan sedia ada di seluruh negeri. GRS memberi cadangan untuk membentuk satu skim yang dikenali Skim Sihat Sabah untuk golongan yang memerlukan agar mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

6. Pendidikan dan Modal Insan

Meningkatkan capaian internet berkelajuan tinggi bagi memperkasa pendidikan digital selain menambah baik kualiti prasarana sekolah, termasuk berkaitan sekolah daif.

7. Keselamatan

Memperkasa urus tadbir sistem keselamatan dan kerakyatan, menggiatkan usaha membanteras masalah pendatang tanpa izin dan mengukuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

8. Belia

Belia turut diberi perhatian sewajarnya ke arah menggalakkan pembabitan dalam keusahawanan dan sukan termasuk e-sukan.

9. Pembangunan Wanita

Memberi perhatian kepada pembangunan wanita dengan meningkatkan pembabitan golongan itu dalam menguasai teknologi digital dan keusahawanan.

Secara keseluruhan Aku Janji GRS memberi tumpuan kepada hak Sabah, kepemimpinan yang bersih dan berintegriti, bertunjangkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan perpaduan rakyat Sabah.

Post a Comment

0 Comments