Pemandu Bas Sandakan Jalani Saringan Covid-19, Sementara 5 Langkah Harus Dipatuhi




SANDAKAN: Pemandu bas mini di Sandakan dikehendaki membuat saringan COVID-19 di Dewan Masyarakat Sandakan, pada hari ini 5 Oktober 2020.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Datuk Chin Kim Hiung berkata, arahan dikeluarkan atas permintaan Pejabat Kesihatan Sandakan.

Semua pengendali bas mini dikehendaki menjalani ujian swab COVID-19 yang dikendalikan kakitangan Pejabat Kesihatan Sandakan bermula jam 9 pagi Isnin.

Mereka dinasihatkan melakukan apa yang diperlukan bagi mengelak daripada dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Polis 1967 serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Chin berkata LPKP Sandakan juga akan membantu pemandu bas mini untuk mendapatkan Kod Respon Pantas MySejahtera bagi memantau penumpang mereka. Bantuan sama akan dihulurkan kepada pemandu teksi dan pengendali bas sekolah.

Pihak LPKP mendapati ada lagi pemandu yang belum mendaftar untuk Kod Respon Pantas MySejahtera yang mungkin mereka tidak nampak keperluannya dan tidak tahu untuk membuatnya. LPKP Sandakan sedia membantu.

Chin mengingatkan semua penumpang, pemandu dan pekerja sektor pengangkutan awam seperti bas, teksi dan perkhidmatan e-haling ikut mengikuti peraturan yang ditetapkan seperti;

1. Memakai pelitup muka
2. Penggunaan pensanitasi tangan sebelum dan selepas menaiki kenderaan pengangkutan awam
3. Mengamalkan penjarakan fizikal 
4. Mengurangkan kapasiti penumpang kepada 50 peratus
5. Penumpang bergejala tidak dibenarkan menaiki kenderaan pengangkutan awam

Beliau menegaskan, pengendali pengangkutan awam juga diingatkan supaya melakukan pembersihan kenderaan mereka selepas setiap perjalanan dan di akhir waktu operasi di terminal atau depoh.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Bas Mini Sandakan Mohd Harun Ramli mengesahkan persatuan itu menerima arahan berkenaan dan berkata lebih daripada 300 pemandu bas akan terlibat dalam saringan itu.

Pemandu bas, termasuk ahli jawatankuasa bagi setiap laluan bas di Sandakan telah sedia maklum berkenaan arahan itu dan akan memberikan kerjasama.

Post a Comment

0 Comments