Kes Covid Naik Mendadak di Sabah. Kluster Baharu Puncanya


Kluster baharu dikenal pasti iaitu Kluster Benteng di Lahad Datu menjadikan jumlah kes baharu COVID-19 meningkat sebanyak 51 kes positif pada 7 September.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berucap, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 bagi kluster Benteng adalah sebanyak 66 kes. Ia dikenal pasti pada 1 September 2020 berpunca dari dua pendatang tanpa izin (PTI) yang ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada 24 Ogos 2020. Saringan dibuat dan banduan terbabit disahkan positif COVID-19 pada 31 Ogos sebelum dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

Aktiviti pengesanan kes dan saringan kontak rapat dilakukan yang melibatkan seramai 1,404 individu disaring dan 66 kes positif COVID-19 dikesan.

64 kes melibatkan banduan iaitu 97 peratus, manakala dua lagi kes iaitu tiga peratus melibatkan seorang pegawai penjara dan anak saudaranya daripada jumlah keseluruhan 66 kes positif COVID-19 dalam kluster ini.

Jumlah saringan bagi kluster ini melibatkan seramai 631 banduan, 157 ahli keluarga kakitangan dan banduan, 98 kakitangan penjara, 78 anggota polis, dan seramai 440 pegawai agensi kerajaan yang lain.

Kes kluster Benteng ini melibatkan dua daerah iaitu Lahad Datu dan Tawau iaitu 30 kes (45.5 peratus) warganegara Malaysia manakala 36 kes (54.5 peratus) bukan warganegara.

Daripada 420 orang disaring di Lahad Datu , 50 kes dikesan positif, 337 negatif dan seramai 33 individu masih menunggu keputusan. Bagi kes di Tawau, saringan dibuat keatas individu seramai 984 orang dan 16 kes dikesan positif sementara 230 orang lagi negatif dan 738 individu masih menunggu keputusan.

Terdapat 62 kes baharu yang telah dilaporkan setakat 8 September. 37 kes disahkan postitif dari daerah Lahad Datu, manakala daerah Tawau sebanyak 25 kes baharu. Ini menjadikan jumlah 128 kes bagi Kluster Benteng di Sabah. Sementara, seramai 1,325 individu masih menunggu keputusan.

Berdasarkan analisa risiko yang dilakukan, ruang lokap yang sesak dan sempit menjadi faktor penularan COVID-19 bagi kluster Benteng.

Faktor lain yang menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 adalah didapati penjarakan fizikal tidak diamalkan di kalangan banduan.

Justeru itu, kita dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya diamalkan sepanjang masa tanpa mengira tempat dan sentiasa menjaga kebersihan.

Jangan mengalah, kita pasti menang!


Post a Comment

0 Comments